welcome to my blog

Nama : Suria Mohamad

No Matriks : 210119

Monday 11 July 2011

Sinopsis





“Pendidikan bertaraf dunia” sebagai wacana dalam dasar pendidikan negara meletakkan proses pendidikan sebagai satu bidang yang penting dalam kehidupan seharian khususnya di sekolah-sekolah yang berfungsi sebagai institusi perkembangan ilmu. Pengiktirafan yang diberikan terhadap bidang pendidikan membawa satu implikasi dan impak yang serius terhadap profesion perguruan yang secara langsung terlibat dalam sistem penyampaian ilmu. Pendidikan bertaraf dunia mempunyai wawasan ke arah melahirkan generasi yang mengamalkan budaya fikir, kritis, kreatif dan inovatif. Hanya manusia yang berbudaya fikir dapat bersaing di medan antarabangsa serta menjana idea ke arah pembangunan tamadun ilmu, masyarakat, budaya, bangsa dan negara.
Tahun 2004 bukan sahaja berkehendakkan manusia mengamalkan budaya fikir tetapi bersama-sama menggabungkan penggunaan teknologi dalam sebarang bentuk tindakan. Perkembangan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta penggunaan komputer dalam bidang pendidikan menjadikan ilmu lebih mudah diakses, disebar dan disimpan. Manakala kecanggihan serta kemampuannya menyampaikan sesuatu maklumat secara cepat, tepat dan menarik dalam bentuk multimedia menjadikannya sebagai satu daya tarikan ke arah mewujudkan satu senario belajar yang lebih menyeronokkan.
Dalam hal ini profesion perguruan pada alaf baru ini haruslah mampu menguasai dan menggabungkan kemahiran-kemahiran yang berkaitan untuk melahirkan satu bentuk pendidikan yang lebih bermakna dan bestari. Walau bagaimanapun dalam bidang pendidikan sekarang, kecanggihan teknologi melalui persembahan multimedianya bukanlah hanya faktor yang boleh menjadikan proses pembelajaran itu berkesan. Keberkesanan dan kebestarian sesuatu pengajaran itu masih banyak bergantung pada faktor manusia iaitu guru yang membuat perancangan. Teknologi hanyalah sebagai faktor pemangkin ke arah mempercepatkan proses keberkesanannya, manakala kemahiran dari aspek pedagogi serta psikologi adalah diperlukan.
Oleh itu guru harus mampu mengintegrasikan ketiga-tiga aspek pedagogi, psikologi dan teknologi dalam proses penyampaian ilmu. Usaha ini harus dilakukan secara berterusan ke arah melahirkan seorang pelajar yang berfikirkan kritis dan kreatif, seimbang dari segi intelek, rohani dan jasmani serta dapat hidup dalam keadaan yang 2
harmonis yang berpegang teguh pada agama dan kepercayaan pada Tuhan seperti mana yang terdapat dalam Falfasah Pendidikan Negara.
Namun begitu, terdapat kajian yang membuktikan bahawa kesediaan guru menggunakan teknologi maklumat di dalam pengajaran bahasa ke atas 392 orang guru bahasa menunjukkan majoritinya guru-guru masih takut untuk menggunakan komputer dalam pengajarannya. Aplikasi komputer yang kurang dalam pengajaran bahasa di sekolah-sekolah adalah disebabkan guru-guru tidak mempunyai kemahiran dan latihan yang secukupnya (Norizan Abdul Razak, 1997). Dengan ini, kerajaan perlu melipat gandakan usaha menangani masalah tersebut terutama di kalangan guru-guru.
Sebenarnya, kemajuan pesat dalam bidang teknologi maklumat telah membawa banyak perubahan terhadap kaedah pengajaran bahasa. Daripada kaedah konvensional di dalam bilik darjah, pengajaran bahasa kini telah berkembang kepada kaedah pengajaran yang baru, iaitu pengajaran bahasa di alam siber. Dengan kaedah baru ini, para pendidik bahasa dapat berkomunikasi dan mengajar melalui komputer yang dihubungkan dengan modem dan perisian komunikasi. Pengajaran yang menggunakan kaedah baru ini dapat membantu mengembangkan penggunaan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa. Melalui internet, penggunaan bahasa Melayu melewati batas geografi dan waktu. Hal ini demikian kerana internet merupakan satu jaringan antarabangsa yang menghubungkan lebih 30 000 jaringan di lebih 100 buah negara. Internet kini mempunyai lebih 20 juta pengguna di seluruh dunia dan bilangan pengguna ini semakin bertambah dengan penurunan harga komputer dan perisian komunikasi (Laudon, Traver dan Laudon 1996).
Memandang bahawa penggunaan teknologi maklumat ini masih baru dalam sistem pendidikan di Malaysia, para pendidik bahasa perlu mempunyai literasi teknologi dan memahami keperluan komunikasi secara global. Hal ini dapat membantu para pendidik menerapkan kaedah ini dengan berkesan. Penulisan ini akan memberikan tumpuan kepada kaitan antara komunikasi di alam siber dengan praktis pengajaran bahasa yang penggabungannya akan melahirkan satu komuniti baru, iaitu komuniti elektronik (electronic community) dan bentuk komunikasi di alam siber yang dikenal sebagai komunikasi pengantaraan komputer (computer mediated communication). Penulisan ini akan turut membincangkan aspek pedagogi komunikasi pengantaraan komputer, seperti bentuk pengajaran yang komunikatif dan interaktif. Penulisan ini seterusnya akan menyarankan kemahiran yang diperlukan oleh para guru bahasa untuk bersama-sama memasuki alam pengajaran siber dan peranan institusi pendidikan guru dalam perkembangan ini. Selain itu, penulisan ini akan turut menyingkap kemungkinan komunikasi pengantaraan komputer dijadikan sebagai satu kaedah perundingan antara pelajar dengan pendidik dalam pengajaran bahasa.
Menurut Laudon dan Laudon (1996), teknologi maklumat merupakan gabungan teknologi komputer dan sistem komunikasi yang membolehkan teks, bunyi, video, dan animasi disalurkan melalui talian. Komputer dengan kemudahan lebuh raya maklumat merupakan satu jaringan yang meliputi kawasan yang luas, mempunyai kepantasan yang tinggi, dan menawarkan beberapa perkhidmatan jaringan. Dengan hal demikian, teknologi ini dapat digunakan untuk membantu pelbagai urusan dan kegiatan, seperti 3
perniagaan, pentadbiran, penyelidikan, dan pendidikan. Antara perkhidmatan yang ditawarkan oleh teknologi ini termasuklah mel elektronik, papan buletin, dan laman web yang membolehkan para pendidikan berkomunikasi dan mengajar dengan menggunakan talian komputer.
Pengajaran siber tidak memerlukan kehadiran di dalam kelas atau kehadiran pelajar sewaktu syarahan. Walau bagaimanapun, satu bentuk komunikasi yang interaktif perlu diwujudkan untuk membangkitkan suasana yang kondusif dan praktikal untuk pembelajaran. Pelajar dan guru berkomunikasi melalui mel elektronik, persidangan komputer, forum elektronik, papan buletin, dan laman web. Pengajaran siber ini dijangka menjadi amalan pengajaran bahasa Melayu pada masa hadapan. Untuk menjadikannya suatu kenyataan, guru haruslah mempunyai pengetahuan tentang komunikasi pengantaraan komputer yang menjadi asas pengajaran siber.

3 comments:

  1. Guru-guru haruslah melengkapkan diri dengan kemahiran-kemahiran ICT..

    ReplyDelete
  2. Selain guru,murid juga perlu tahu menggunakan ICT supaya P&P berjalan lebih lancar.

    ReplyDelete
  3. betul tu cikgu...bkn saja cikgu yg perlu tahu, murid juga perlu meningkatkan kemahiran ict...

    ReplyDelete